Hadis Kelebihan Amalan

Hadis Kelebihan Surah al-Kahfi


Galakan
Membaca Surah al-Kahfi Pada Siang dan Malam Jumaat

1- Imam
al-Syafi’e berkata dalam kitab al-Umm:

“Telah
sampai kepada kami (hadis) bahawa sesiapa yang membaca surah al-Kahfi akan
selamat daripada tipu daya Dajjal. Aku suka agar memperbanyakkan selawat ke
atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pada setiap masa dan pada hari Jumaat dan
malamnya lebih lagi aku galakkan. Aku suka agar dibaca surah al-Kahfi pada
malam Jumaat dan siangnya kerana ada (hadis) tentangnya.”

 2 – Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar
berkata:

“Digalakkan
untuk memperbanyakkan pada siang dan malamnya (Jumaat) bacaan al-Quran, zikir,
doa, selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan membaca surah al-Kahfi
pada harinya.”

Hikmah Dibaca
Surah al-Kahfi Pada Hari Jumaat

Imam
Kamaluddin al-Damiri dalam kitab al-Najm al-Wahhaj Syarah al-Minhaj
berkata:

“Hikmah
pembacaannya pada hari Jumaat kerana Allah menyebutkan di dalamnya berkenaan hari
kiamat. Hari Jumaat menyerupai hari kiamat kerana pada hari Jumaat manusia akan
berhimpun dan bangun khatib (menyampaikan khutbah). Begitu juga kiamat akan
berlaku pada hari Jumaat. Apabila dibaca surah al-Kahfi pada waktu siang akan
mengingatkan kepada kiamat. Jika dibaca pada waktu malam akan mengingatkan
bahawa tidak ada malam lagi setelahnya melainkan hari kiamat.”

Hadis
Kelebihan Surah al-Kahfi

Hadis Pertama

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ،
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ
مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ.

Diriwayatkan
daripada Abu Darda’, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa
yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi maka dia akan
dipelihara daripada Dajjal.”

Riwayat
Muslim (no.
809).

Dalam
riwayat Muslim yang lain:

منْ حفِظَ عشْر آيَاتٍ مِنْ آخِرِ سُورةِ
الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ.

“Sesiapa
yang menghafal 10 ayat daripada akhir surah al-Kahfi maka dia akan
dipelihara daripada Dajjal.”

Dalam riwayat
al-Tirmizi (no.
2886
):

مَنْ قَرَأَ ثَلَاثَ آيَاتٍ
مِنْ أَوَّلِ الكَهْفِ عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَّالِ.

“Sesiapa
yang membaca 3 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan diperlihara
daripada tipu daya Dajjal.”

Kata
al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih.”

Keterangan
Hadis dan Pengajaran Hadis:

1 –
Syeikh Abdullah al-Talidi dalam kitab Bidayah al-Sul berkata: “Hadis
ini menunjukkan keutamaan surah al-Kahfi dan kelebihan menghafal dan membacanya
iaitu terpelihara daripada Dajjal dan tipu dayanya, meskipun orang tersebut hanya
menghafal 10 ayat daripada awalnya atau membaca 10 ayat terakhir daripadanya.”

2 – Maksud tipu
daya Dajjal ialah perkara-perkara ajaib dan luar biasa yang dizahirkan oleh
Dajjal  seperti menurunkan hujan dan
menumbuhkan tumbuhan di bumi yang tandus yang membuatkan orang yang lemah
imannya terpedaya dan tersesat sehingga mengikut Dajjal.

3 – Imam
al-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim bahawa dikatakan hikmah
surah ini dapat menjadi pelindung daripada tipu daya Dajjal adalah kerana 10
ayat awal surah ini menceritakan tentang perkara-perkara yang luar biasa dan
ajaib. Oleh itu sesiapa yang benar-benar memahami dan menghayati ayat-ayat
tersebut maka dia tidak akan tertipu dan terpesona lagi dengan
keajaiban-keajaiban yang dizahirkan oleh Dajjal. Manakala 10 ayat yang terakhir
pula mengandungi peringatan agar tidak mengambil selain Allah sebagai sembahan.
Firman Allah Ta’ala (ayat ke 102 Surah al-Kahfi):

أَفَحَسِبَ ٱلَّذِينَ
كَفَرُوٓاْ أَن يَتَّخِذُواْ عِبَادِى مِن دُونِىٓ أَوْلِيَآءَ ۚ إِنَّآ
أَعْتَدْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَٰفِرِينَ نُزُلًا.

Maka
adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu
sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong
mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir
itu sebagai tempat tetamu.”

4 – Hadis
ini juga menunjukkan sifat belas kasihan Nabi sallahu ‘aihi wasallam
terhadap umatnya. Baginda mengkhabarkan tentang ujian dan huru hara yang bakal
menimpa umatnya serta mengajarkan cara-cara untuk selamat daripada kesusahan
tersebut.

5 – Dalam
riwayat al-Tirmizi dikatakan bahawa cukup hanya perlu membaca 3 ayat daripada
surah al-Kahfi. Adakah riwayat ini bercanggah dengan riwayat Muslim yang
menunjukkan bahawa perlu menghafal 10 ayat? Para ulama menyebutkan beberapa
kemungkinan untuk mengharmonikan antara kedua-dua riwayat ini:

Pertama: Hadis yang menyebutkan 3 ayat
adalah yang terkemudian yang memansuhkan hadis yang menyebutkan 10 ayat. Maka
cukup untuk membaca 3 ayat sahaja dan tidak perlu lagi membaca 10 ayat.

Kedua: Hadis yang menyebutkan 10 ayat
adalah yang terkemudian yang memansuhkan hadis yang menyebutkan 3 ayat. Sesiapa
yang membaca 10 ayat maka dia sudah membaca 3 ayat yang awal sekaligus.

Ketiga: Hadis yang menyebutkan 10 ayat
adalah untuk hafalan manakala hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah untuk
bacaan. Oleh itu sesiapa yang menghafal 10 ayat yang awal dan sentiasa membaca
3 ayat yang awal maka dia akan dipelihara daripada Dajjal.

Menurut
Syeikh Muhammad Ali Adam al- Ityubi dalam kitab Al-Bahr al-Muhith al-Thajjaj
 Fi Syarh Sahih al-Imam Muslim bin
al-Hajjaj
, hadis yang menyebutkan 3 ayat adalah hadis yang syaz
(daif). Oleh itu tidak perlu bersusah payah berusaha untuk mengharmonikan
kedua-dua riwayat tersebut sebaliknya dahulukan sahaja hadis yang menyebutkan
10 ayat.

6 – Dalam
riwayat Muslim juga ada perbezaan antara 10 ayat awal dan 10 ayat terakhir.
Riwayat manakah yang lebih kuat? Menurut Syeikh Muhammad Ali Adam al-Ityubi,
riwayat 10 ayat awal lebih kuat kerana diriwayatkan oleh perawi yang
lebih  ramai.

Imam
al-Syaukani pula berpandangan bahawa lebih baik untuk beramal dengan kedua-dua
riwayat tersebut. Dan yang lebih baik dan lebih sempurna lagi adalah dengan membaca
keseluruhan surah al-Kahfi pada malam dan siang Jumaat.

Hadis Kedua

عَنِ الْبَرَاءِ، قَالَ:

كَانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ
سُورَةَ الْكَهْفِ، وَإِلَى جَانِبِهِ حِصَانٌ مَرْبُوطٌ بِشَطَنَيْنِ،
فَتَغَشَّتْهُ سَحَابَةٌ، فَجَعَلَتْ تَدْنُو وَتَدْنُو، وَجَعَلَ فَرَسُهُ
يَنْفِرُ، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ
ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: تِلْكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بِالْقُرْآنِ.

Diriwayatkan daripada
al-Bara’, beliau berkata:

“Seorang lelaki
membaca surat al-Kahfi. Di sisinya terdapat seekor kuda yang terikat dengan dua
tali.  Lalu datang awan/kabus yang
menaunginya. Awan/kabus itu mendekat dan semakin mendekat sehingga membuatkan
kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi, lelaki itu pun datang bertemu Nabi
sallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan kejadian itu. Maka Nabi SAW pun
bersabda: “Itu adalah al-Sakinah yang turun kerana (bacaan) al-Qur’an”

Riwayat al-Bukhari (no.
5011) dan Muslim (no. 795)

Keterangan
Hadis dan Pengajaran Hadis:

1 – Maksud al-Sakinah dari segi
terjemahan literalnya adalah ketenangan, kedamaian dan ketenteraman. Namun
tafsiran al-Sakinah bagi hadis ini menjadi perbezaan ulama yang
menafsirkannya dengan banyak tafsiran.

Menurut Imam
al-Nawawi, pendapat yang terpilih bagi tafsiran al-Sakinah adalah ia
merupakan sesuatu daripada makhluk Allah yang padanya ada ketenangan dan
bersamanya juga ada para malaikat.

Imam al-Qurtubi
berpendapat bahawa al-Sakinah ini adalah nama bagi malaikat dan
dinamakan sebagai sakinah kerana sifat mereka yang tenang dan tenteram
kerana menghormati pembacaan al-Quran.
Syeikh Muhammad Ali Adam al-Ityubi juga
bersetuju bahawa al-Sakinah itu merujuk kepada malaikat.

2 – Hadis
ini menunjukkan kelebihan membaca al-Quran. Malaikat akan turut hadir untuk
mendengar bacaan al-Quran dan kehadiran mereka akan membuat hati merasa tenang
dan dilimpahi rahmat Allah.

3 – Galakan
untuk mendengar bacaan al-Quran orang lain sebagimana yang dilakukan oleh para
malaikat.

4 – Hadis
ini juga membuktikan bahawa manusia selain nabi dan rasul juga mungkin dapat
melihat malaikat. Begitu juga haiwan dapat melihat malaikat.

5 – Imam
al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab kelebihan surah al-Kahfi. Ini
menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dihadiri oleh malaikat yang akan
membuatkannya rasa tenang dan dilimpahi rahmat Allah.

Namun
menurut pendapat ulama lain, kelebihan tersebut tidaklah khusus kepada
pembacaan surah al-Kahfi semata-mata bahkan pembacaan al-Quran secara umumnya.
Oleh itu pembacaan mana-mana surah sekalipun akan mendapat kelebihan tersebut.

Hadis Ketiga

 عَن النَّواس بنِ سَمْعانَ قالَ، قالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ
عَلَيْهِ وسَلَّم:

فمَن أَدْرَكَهُ مِنكُمْ، فَلْيَقْرَأْ عليه فَوَاتِحَ سُورَةِ الكَهْفِ.

Diriwayatkan daripada
al-Nawwas bin Sam’an, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa di kalangan
kamu yang bertemu dengan Dajjal maka bacakan kepadanya pembukaan (bahagian awal)
surah al-Kahfi.”

Riwayat Muslim (no.
2937).

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini sama seperti
hadis pertama yang menunjukkan bahawa pembaca surah al-Kahfi akan dilindungi
daripada kejahatan Dajjal. Oleh itu sesiapa yang bertemu dengan Dajjal maka
hendaklah dia membaca bahagian awal surah al-Kahfi.

Hadis Keempat

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ كَمَا أُنْزِلَتْ،
ثُمَّ أَدْرَكَ الدَّجَّالَ لَمْ يُسَلَّطْ عَلَيْهِ، أَوْ لَمْ يَكُنْ لَهُ
عَلَيْهِ سَبِيلٌ، وَمَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ كَانَ لَهُ نُورًا مِنْ حَيْثُ
قَرَأَهَا مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ مَكَّةَ.

Diriwayatkan daripada
Abu Sa’id al-Khudri, beliau berkata:

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan,
kemudian dia bertemu dengan Dajjal, maka Dajjal tidak mampu untuk menguasainya
atau tidak ada jalan bagi Dajjal untuk menguasainya. Sesiapa yang membaca surah
al-Kahfi, maka baginya cahaya
dari tempat
dia membacanya sehingga Mekah.”

Riwayat al-Nasa’ie
dalam al-Sunan al-Kubra (10724).

Dalam riwayat
al-Darimi (no. 3450) secara mauquf:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ
الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ فِيمَا بَيْنَهُ
وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam
Jumaat
, maka diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq
(Kaabah).

Dalam riwayat
al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2220) secara mauquf:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ
الْكَهْفِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ
الْبَيْتِ الْعَتِيقِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka
diterangi baginya cahaya antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq (Kaabah).”

Dalam riwayat
al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no. 6063) secara marfu’:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ
الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari
Jumaat
, maka diterangi baginya dengan cahaya antara dua Jumaatnya.”

Dan ada beberapa lafaz
hadis yang berbeza-beza yang saya tidak sebutkan di sini.

Keterangan dan
Pengajaran Hadis

1 – Telah berlaku
khilaf besar pada periwayatan hadis ini sama ada dari sudut sanad mahupun
matannya. Dari sudut sanad, hadis ini diriwayatkan secara marfu’
(ucapan Nabi) dan mauquf (ucapan sahabat).

Begitu juga berlaku
khilaf pada matannya. Ada riwayat yang menyebutkan membaca al-Kahfi tanpa
disebut Jumaat
, ada yang menyebutkan malam Jumaat dan ada yang
menyebutkan hari Jumaat.

Selain itu ada juga
perbezaan pada hujung matannya iaitu ‘
diterangi baginya dengan cahaya antara
tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’
danditerangi baginya dengan
cahaya antara dua Jumaatnya”.

Pendapat yang lebih sahih/tepat adalah hadis ini sebenarnya adalah
ucapan Abu Sa’id al-Khurdi (mauquf). Inilah pendapat kebanyakan ulama
seperti al-Nasa’ie, al-Daraqutni, al-Tabarani, al-Baihaqi, al-Zahabi dan Ibnu
Hajar al-Asqalani. Meskipun begitu ucapan Abu Sa’id al-Khudri ini mempunyai
hukum marfu’ (bersumber dari Nabi) kerana tidak mungkin beliau
mengucapkan perkara seperti ini berdasarkan pandangan beliau sendiri.

Untuk matannya, yang
lebih tepat adalah yang tidak menyebut Jumaat dan lafaz hadis dihujungnya
menyebut ‘
antara tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’. Lafaz
hadis yang menyebut ‘antara dua Jumaat’ itu pula
merupakan kesilapan salah seorang perawinya iaitu Nu’aim bin Hammad.

2 – Hadis yang
menyebut membaca al-Kahfi pada hari dan malam Jumaat telah dijadikan dalil oleh
para ulama yang menganjurkan pembacaan surah ini pada hari dan malam Jumaat.

Ini kerana kebanyakan
ulama berpendapat tidak ada masalah untuk menggunakan hadis daif dalam bab fadhail
a’mal
(kelebihan amalan). Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali dalam kitab al-Mughni
menyebutkan: “Perkara-perkara sunat dan kelebihan-kelebihan (amalan) tidak disyaratkan
kesahihan hadis padanya.”

3 – Para ulama juga
khilaf pada menafsirkan bahagian hadis ‘
diterangi baginya cahaya antara
tempatnya sehingga Bait al-‘Atiq’.

Menurut al-Jurdani dalam kitab Misbah al-Zalam, cahaya
dalam hadis tersebut adalah kiasan kepada pengampunan dosa dan ganjaran pahala.
Jikalau pengampunan dosa dan ganjaran pahala itu dijisimkan/dibentukkan maka saiznya adalah
jarak antara tempatnya sehingga Kaabah. Ini mengam
barkan betapa besar dan luasnnya pengampunan dosa dan ganjaran pahala
yang diperoleh oleh pembaca surah al-Kahfi.

Al-San’ani dalam al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir pula
berpendapat cahaya yang diterangkan bagi pembaca surah al-Kahfi itu mungkin
berlaku di dunia ini yang akan meliputinya dengan kadar keluasan cahaya itu
adalah dari tempatnya sehingga ke Kaabah. Cahaya itu akan menjadi tanda bagi malaikat
supaya menerima amalannya dan melindunginya daripada syaitan. Boleh jadi juga
cahaya itu adalah pada basirahnya (pandangan mata hati) yang akan
memandunya kepada kebenaran.  

Hadis Keempat

عَنْ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ،
عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ:

مَنْ قَرَأَ أَوَّلَ سُورَةِ
الْكَهْفِ وَآخِرَهَا، كَانَتْ لَهُ نُورًا مِنْ قَدَمِهِ إِلَى رَأْسِهِ، وَمَنْ
قَرَأَهَا كُلَّهَا كَانَتْ لَهُ نُورًا مَا بَيْنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ.

Diriwayatkan daripada
Mu’az bin Anas, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam
, baginda bersabda:

“Sesiapa yang membaca
awal surah al-Kahfi dan juga akhirnya, baginya cahaya daripada kakinya sehingga
kepalanya. Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi keseluruhannya, baginya cahaya
antara langit sehingga ke bumi.”

Riwayat Ahmad (no.
15626) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Zabbad
bin Faid, dia adalah daif.

Bangun Pada Waktu Yang
Dikehendaki Dengan Membaca Akhir Surah al-Kahfi

Seorang tabiin besar (kibar tabiin) yang sempat belajar dengan ramai sahabat bernama Zirr bin Hubaish berkata:

مَنْ قَرَأَ آخِرَ سُورَةِ
الْكَهْفِ لِسَاعَةٍ يُرِيدُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ، قَامَهَا
.

“Sesiapa yang membaca
akhir surah al-Kahfi untuk dia bangun pada suatu masa pada malam tersebut maka
dia akan bangun.”

Riwayat al-Darimi (no.
3449) dan Abu ‘Ubaid dalam Fadhail al-Quran (no. 465).

Murid Zirr bin Hubaish
bernama ‘Abdah yang meriwayatkan ucapan beliau ini berkata:

“Aku mencubanya dan
aku mendapati ianya benar.”

Begitu juga salah
seorang perawi ucapan Zirr bin Hubaish ini yang bernama Muhammad bin Kathir al-Masisi
berkata:

“Aku mencubanya juga
beberapa kali sewaktu perang dan aku bangun pada waktu yang aku kehendaki.”

Menurut Muhammad bin
Kathir ayat tersebut perlu dibaca bermula ayat yang ke-107 sehingga akhir surah
al-Kahfi.

Syeikh Nabil al-Ghamri
dalam kitab Fath al-Manan menceritakan bahawa guru beliau, Syeikh Hasan
al-Masyat turut mencubanya dan mendapatinya mujarab.


Terimakasih telah membaca di Piool.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.


Comments

Paling Populer

To Top