Biografi Ulama

Imam al-Bukhari – Imam Ahli Hadis dan Pengarang Sahih al-Bukhari


Kota Bukhara

Nama dan Nasab

Beliau ialah Muhammad
bin Isma’il bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah bin al-Ahnaf al-Ju’fi
al-Bukhari. Kunyah beliau ialah Abu Abdillah.

Bardizbah merupakan
orang Parsi yang beragama Majusi dan mati dalam agama tersebut. Perkataan
Bardizbah tersebut berasal daripada bahasa orang Bukhara yang membawa maksud
petani. Setelah itu anaknya, Al-Mughirah memeluk Islam di tangan Yaman al-Ju’fi,
gabenor Bukhara pada ketika itu.

Datuk beliau,
al-Mughirah pula tidak ditemui sebarang maklumat tentang beliau menurut
al-Hafiz Ibnu Hajar.

Bapa beliau, Isma’il
merupakan orang alim yang terhormat. Beliau merupakan murid kepada Hammad bin
Zaid dan Imam Malik bin Anas. Bapa beliau bukan sahaja seorang yang alim tetapi
juga merupakan seorang yang warak dan bertakwa. Ketika hampir wafatnya beliau
pernah berkata: “Tidaklah aku ketahui bahawa ada dalam hartaku ini sedirham
pun daripada sumber yang haram dan syubhah.”

Gelaran al-Ju’fi
adalah kerana moyang beliau, al-Mughirah memeluk
Islam
di tangan Yaman al-Ju’fi yang berasal daripada kabilah al-Ju’fi. Lalu diberikan
gelaran al-Ju’fi tersebut kepadanya walaupun pada asalnya beliau bukanlah
daripada kabilah tersebut dan berterusanlah gelaran tersebut dipakai oleh
keturunannya.

Gelaran al-Bukhari
pula adalah nisbah kepada Bukhara, tempat kelahiran beliau. Bukhara pada hari
ini terletak di negara Uzbekistan. Kota Bukhara pertama kali dibuka oleh orang
Islam di bawah pimpinan Ubaidullah bin Ziyad ketika zaman pemerintahan Muawiyah
bin Abi Sufyan.

Kelahiran

Imam al-Bukhari
dilahirkan selepas solat Jumaat pada 13 Syawal tahun 194 Hijrah di Bukhara.

Bapa beliau meninggal
dunia ketika beliau masih kecil. Setelah itu ibu beliau pula menggalas tugas
membesarkan beliau dengan bantuan harga peninggalan yang ditinggalkan oleh bapa
beliau.

Imam al-Bukhari telah
kehilangan penglihatannya ketika beliau masih kecil. Perkara tersebut
menyebabkan ibunya sangat sedih. Ibunya selalu berdoa agar dikembalikan semula
penglihatan anaknya, sehinggalah pada suatu malam beliau melihat Nabi Ibrahim
berkata kepadanya di dalam mimpi: “Allah telah mengembalikan semula
penglihatan anakmu disebabkan banyaknya doamu atau tangisanmu.”
Apabila
ibunya bangun, beliau mendapati penglihatan anaknya telah pulih semula.

Genius Dari Kecil

Kepintaran Imam
al-Bukhari sudah terzahir ketika beliau masih kecil sewaktu sedang menuntut di kuttab
atau tadika. Allah telah menganugerahkan kepada beliau hafalan yang kuat dan
ilham untuk menghafal hadis sehingga beliau mampu untuk menghafal sejumlah
besar hadis ketika usianya masih muda lagi.

Muridnya, Abu Ja’far
Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq al-Nahwi pernah berkata:

Aku pernah bertanya
kepada Abu Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhari:

Bagaimanakah
kisahmu ketika mula-mula belajar hadis?”

Beliau menjawab:

“Aku telah
diilhamkan untuk menghafal hadis ketika aku masih berada di kuttab (sekolah rendah).”

Aku bertanya:

“Berapakah usia
kamu ketika itu?”

Beliau menjawab:

“Sepuluh tahun atau
kurang. Setelah itu saya selalu belajar dengan al-Dakhili dan guru yang lain.
Pada suatu hari beliau berkata kepada murid-murid: Sufyan meriwayatkan hadis
daripada Abi al-Zubair daripada Ibrahim. Aku lalu berkata kepadanya: Wahai Abu
Fulan, sesungguhnya Abu al-Zubair tidak meriwayatkan daripada Ibrahim. Dia lalu
memarahiku. Aku berkata lagi kepadanya: Rujuk semula catatanmu jika engkau
mempunyainya. Beliau lalu masuk ke dalam rumahnya dan merujuk semula catatanya.
Setelah itu beliau keluar semula. Beliau bertanya kepadaku: Bagaimanakah yang
sebenarnya wahai budak? Aku menjawab: Dia adalah al-Zubair bin Adi yang
meriwayatkan daripada Ibrahim. Beliau lalu mengambil penaku dan mencatat pada kitabnya.
Beliau berkata: Engkau benar.”

Sebahagian sahabatnya
bertanya kepadanya (al-Bukhari):

“Berapakah usia
engkau tatkala engkau menegurnya.”

Beliau menjawab:

“Sebelas tahun.”

Beliau berkata lagi:

“Apabila aku berumur
enam belas tahun, aku menghafal kitab-kitab Ibnu al-Mubarak dan Waki’ dan aku
mengetahui ucapan mereka (ahli hadis). Kemudian, aku, ibuku dan saudaraku,
Ahmad keluar menuju ke Mekah. Setelah aku selesai menunaikan haji, saudaraku
pulang (ke Bukhara) sementara aku tinggal di Mekah untuk belajar hadis. Apabila
aku berusia lapan belas tahun, aku mula menulis sejarah sahabat dan tabi’in serta
ucapan-ucapan mereka. Ketika itu aku sedang belajar dengan Ubaidullah bin Musa.
Aku menulis kitab al-Tarikh di sisi kubur Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
pada malam berbulan purnama. Sangat jarang nama (tokoh) yang terdapat dalam
kitab al-Tarikh melainkan aku mempunyai kisah berkenaan tokoh tersebut. Tetapi
aku tidak suka untuk memanjangkan kitab berkenaan.”

Abu Bakar al-A’yan
berkata:

“Kami menulis hadis
daripada Muhammad bin Isma’il di pintu (rumah) Muhammad bin Yusuf al-Firyabi.
Di wajah beliau masih belum ada janggut. Kami bertanya: Berapakah usia engkau?
Beliau menjawab: Tujuh belas tahun.”

Muhammad bin Abi Hatim
al-Warraq berkata:

“Aku mendengar
Muhammad bin Isma’il berkata: Muhammad bin Salam al-Bikandi berkata kepadaku:
Lihatlah pada kitab-kitabku ini. Kalau kamu lihat ada kesilapan padanya maka
buanglah ia supaya aku tidak meriwayatkannya.”

Al-Bukhari berkata:
“Maka aku lakukan pemintaannya tersebut.”

Muhammad bin Salam
menulis pada hadis yang diterima oleh al-Bukhari: “Si pemuda menerimanya.”

Pada hadis yang daif
pula: “Si pemuda tidak menerimanya.”

Sebahagian sahabat
Muhammad bin Salam bertanya kepadanya: “Siapakah pemuda ini?”

Beliau menjawab: “Dia
yang tidak ada orang lain seumpamanya, Muhammad bin Isma’il.”

Al-Hafiz Ibnu
Nasiruddin al-Dimasyqi berkata:

“Telah sampai
kepada kami khabar bahawa al-Bukhari telah melakukan sedemikian pada
kitab-kitab al-Bikandi ketika berusia tujuh belas tahun atau kurang. Beliau
(semoga Allah merahmatinya) seorang yang sentiasa bersungguh-sungguh dari kecil
sehinggalah akhir umurnya.”

Muhammad bin Salam
al-Bikandi tersebut merupakan salah seorang guru Imam al-Bukhari. Beliau adalah
seorang imam, hafiz dan daripada kalangan pakar hadis.

Al-Warraq juga
berkata:

“Aku mendengar Abu
Abdillah al-Bukhari berkata: Aku bertemu dengan al-Humaidi ketika itu aku
berusia lapan belas tahun. Beliau dan seorang lagi berbeza pendapat tentang
suatu hadis. Apabila al-Humaidi melihatku beliau berkata: Telah datang orang
yang akan menjadi pemutus bagi kita. Lalu kedua mereka membentangkan pendapat
mereka kepadaku. Aku memilih untuk memenangkan al-Humaidi kerana kebenaran ada
padanya.”

Al-Humaidi tersebut
ialah Abdullah bin al-Zubair al-Humaidi. Seorang imam dan ahli hadis besar.
Beliau antara guru Imam al-Bukhari yang paling hebat.

Peta Pengembaraan Imam al-Bukhari

Pengembaraan Ilmiah

Sebagaimana kebiasaan
ahli hadis yang mengembara ke serata alam untuk belajar dan mengumpulkan hadis,
Imam al-Bukhari juga tidak terkecuali mengikut adat itu. Diriwayatkan bahawa
beliau pernah berkata: “Aku telah masuk ke Syam, Mesir, Semenanjung Arab
sebanyak dua kali, Basrah sebanyak empat kali dan aku tinggal di Hijaz selama
enam tahun. Aku tidak mampu mengira berapa kali aku masuk ke Kufah dan Baghdad
bersama-sama ahli hadis Khurasan.”

Al-Khatib al-Baghdadi
berkata:

“Al-Bukhari
mengembara untuk menuntut ilmu kepada seluruh ahli hadis yang berada di merata
tempat. Beliau menulis hadis di Khurasan, al-Jabal dan bandar-bandar di Iraq
keseluruhannya, di Hijaz dan Mesir. Beliau datang ke Baghdad beberapa kali dan
menyampaikan hadis di sana.”

Al-Hakim berkata:

“Al-Bukhari pertama
kali datang ke Naisabur pada tahun 209 Hijrah dan beliau datang untuk kali
terakhir pada 250 Hijrah. Beliau tinggal di sana selama lima tahun dan
berterusan menyampaikan hadis.”

Pengembaraan beliau
yang pertama adalah ke Mekah untuk melaksanakan haji bersama saudaranya dan
ibunya. Ketika itu usianya baru 18 tahun. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Pengembaraan
beliau yang pertama pada tahun 210 Hijrah. Kalaulah beliau melakukan
pengembaraan lebih awal lagi nescaya beliau mampu mencapai sebagaimana yang
dicapai oleh orang yang berada di tabaqat yang tinggi di kalangan orang yang
sezaman dengannya. Meskipun begitu beliau mampu mencapai sebagaimana yang
dicapai oleh orang yang hampir dengannya seperti Yazid bin Harun dan Abu Daud
al-Tayalisi.”

Imam al-Bukhari
berkata:

“Aku telah bertemu
lebih seribu orang syeikh daripada penduduk Hijaz, Mekah, Madinah, Wasit,
Baghdad, Syam dan Mesir. Aku bertemu dengan mereka dari satu generasi ke
generasi yang lain.”

Al-Warraq berkata:

Aku mendengar
al-Bukhari berkata: Aku telah masuk ke Balkh. Ahli hadis di situ meminta
kepadaku untuk membacakan kepada mereka sebuah hadis bagi setiap guru yang aku
telah temui. Maka aku bacakan seribu buah hadis bagi seribu orang guru yang
telah ditulis hadis daripada mereka. Kemudian beliau berkata lagi: Aku telah
tulis hadis daripada 1080 orang, tidaklah mereka itu melainkan ahli hadis.”

Tajuddin al-Subki
berkata:

“Al-Hakim telah
menyebut satu persatu nama kebanyakan guru-guru al-Bukhari. Beliau lalu
menyebut negara yang telah dimasuki oleh al-Bukhari. Kemudian beliau berkata:
Sesungguhnya aku menamakan bagi setiap negara tersebut sekumpulan ahli hadis
yang awal untuk menunjukkan tingginya sanad al-Bukhari.”

Dalam siri
pengembaraan yang berselang-seli ini, Imam al-Bukhari sentiasa tekun
menhimpunkan hadis dan ilmu serta menjaganya melalui penulisan. Pada malam hari
beliau akan bangun, menyalakan pelitanya dan mencatatkan faedah yang terlintas
di fikirannya. Kemudian beliau memadamkan pelitanya dan tidur semula. Beliau
melakukan sedemikian sehingga hampir 20 kali dalam masa satu malam. Demikianlah
kesungguhan beliau.

Keluasan Hafalannya

Imam al-Bukhari terkenal
sebagai seorang ahli hadis yang kuat dan meluas hafalannya. Dengan asbab beliau
dan tokoh-tokoh seperti beliaulah Allah menjaga hadis Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam
.

Diriwayatkan bahawa
beliau pernah berkata:

“Aku menghafal
seratus ribu buah hadis sahih dan dua ratus ribu buah hadis yang tidak sahih.”

Antara kisah yang
diriwayatkan menunjukkan keluasan hafalan beliau ialah kisah hafalan beliau
diuji oleh ahli hadis di Baghdad. Ketika beliau tiba di Baghdad, ahli hadis di
situ mengujinya dengan seratus buah hadis yang telah ditukar antara sanad dan
matannya (maqlub). Seratus buah hadis tersebut lalu dibahagikan kepada
sepuluh orang. Jadi setiap seorang akan menanyakan sepuluh buah hadis. Setiap
kali hadis tersebut dibacakan kepada beliau maka beliau menjawab: “Aku tidak
tahu.”
Begitulah jawapan beliau sehingga lengkap seratus buah hadis
ditanyakan. Sebahagian orang yang jahil sudah ada yang menyangka bahawa
kehebatan Imam al-Bukhari hanya indah khabar daripada rupa. Namun setelah itu
beliau berpaling kepada setiap penyoal dan menyebutkan semula hadis tersebut
dengan mengembalikan bagi setiap matan hadis kepada sanadnya yang betul
sehingga selesai seratus buah hadis. Setelah menyaksikan perkara itu barulah
mereka mengakui kehebatan penguasaan beliau dalam ilmu hadis.

Imam al-Bukhari pernah
berkata:

“Aku telah tulis
hadis daripada seribu orang syeikh atau lebih. Daripada setiap seorang mereka
sepuluh ribu buah hadis atau lebih. Tidak ada suatu hadis padaku melainkan aku mengingati
sanadnya.”

Abu Bakar al-Kalwazani
berkata:

“Aku tidak pernah
melihat orang semisal Muhammad bin Isma’il. Beliau mengambil sebuah kitab ilmu
lalu membacanya sekali bacaan. Lalu beliau menghafal potongan hadisnya walau
dengan sekali bacaan sahaja.”

Al-Warraq berkata:

“Aku bertanya
kepada al-Bukhari: Adakah kamu hafal semua hadis yang kamu masukkan dalam
penulisanmu? Beliau menjawab: Tidak terselindung kepadaku semua yang ada di
dalamnya.”

Ahmad bin Hamdun
berkata:

“Aku melihat
al-Bukhari sewaktu pengebumian jenazah Muhammad bin ‘Uthman. Muhammad bin Yahya
al-Zuhli bertanya kepadanya tentang nama dan kunyah perawi serta ilal hadis.
Al-Bukhari menjawab sebagaimana lajunya anak panah seolah-olah beliau membaca
Qul Huwallahu Ahad.”

Sifat Fizikal dan
Peribadi

Imam al-Bukhari
digambarkan bertubuh kurus, ketinggiannya sederhana sahaja antara tinggi dan
rendah dan kulitnya pula berwarna kecoklat-coklatan.

Selain terkenal dengan
ketinggian ilmu,  beliau juga tersohor
dengan banyaknya ibadat, bersifat zuhud, warak dan berbudi pekerti mulia. Begitulah
adatnya, semakin bertambah ilmu maka makin bertambahlah rasa kenal kepada Tuhannya.

Imam al-Bukhari sangat
kuat sifat malunya, pemurah, bersungguh-sungguh beramal untuk akhirat, selalu
menginfakkan hartanya sama ada secara terang mahupun bersembunyi lebih-lebih
lagi untuk menuntut ilmu dan kepada penuntutnya. Beliau selalu sahaja
memberikan pemberian kepada mereka. Diriwayatkan bahawa beliau berkata: “Aku
membelanjakan pada setiap bulan sebanyak lima ratus dirham dan aku infakkannya
untuk menuntut ilmu. Apa yang di sisi Allah itulah yang baik dan kekal.”

Berkenaan ibadahnya,
direkodkan bahawa pada malam pertama bulan Ramadan beliau akan berkumpul
bersama-sama sahabatnya. Beliau akan solat bersama mereka dan akan membaca 20
buah ayat pada setiap rakaat. Begitulah sehingga beliau mengkhatamkan al-Quran.
Beliau juga akan membaca al-Quran pada waktu sahur dalam kadar satu pertiga
al-Quran sehingga separuh al-Quran. Beliau akan mengkhatamkan al-Quran pada
waktu sahur dalam masa tiga hari. Pada waktu siang pula, untuk setiap hari
beliau juga menghabiskan sekali khataman al-Quran. Demikian jugalah yang
berlaku ketika hampir waktu berbuka puasa. Beliau berkata “Pada setiap kali
khataman al-Quran ada doa yang mustajab.”

Abu Sa’id Bakr bin
Munir berkata:

“Muhammad bin
Isma’il (al-Bukhari) sedang bersolat pada suatu hari. Lalu ada seekor tebuan
yang menyengatnya sebanyak 17 kali. Apabila beliau selesai solat, beliau
berkata: Tolong lihat apa yang menyakitiku ketika aku sedang solat. Orang yang
ada bersama beliau lalu melihat dan mereka mendapati seekor tebuan telah
menyebabkan (badan) beliau membengkak pada 17 tempat dan beliau tidak langsung
memutuskan solatnya!”

Muhammad bin Yusuf
al-Firabri berkata:

“Muhammad bin
Isma’il al-Bukhari pernah berkata kepadaku: Tidaklah aku meletakkan satu hadis pun
dalam kitab al-Sahih melainkan aku mandi dan bersolat dua rakaat terlebih
dahulu.”

Abdul Quddus bin
Hammam berkata:

“Aku mendengar
beberapa orang syeikh berkata: Muhammad bin Isma’il al-Bukhari menulis bab-bab
Jami’-nya di kawasan antara kubur Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan mimbarnya. Bagi
setiap bab beliau akan bersolat dua rakaat.”

Mengenai kewarakan
beliau pula ialah beliau jarang-jarang untuk mensifatkan seseorang perawi itu
sebagai pendusta atau pemalsu hadith. Bahkan beliau akan gunakan istilah yang
lain seperti fihi nazar (padanya ada pertikaian), sakatu ‘anhu
(ahli
hadith mendiamkan diri daripadanya), munkar al-hadith (mungkar
hadithnya) yang lafaz-lafaz ini membawa maksud kritikan berat di sisi beliau.

Al-Imam al-Bukhari
pernah berkata:

“Aku berharap aku
bertemu dengan Allah dan tidaklah aku dihisab bahawa aku pernah mengumpat
seorang pun.”

Kata al-Hafiz
al-Zahabi mengulas ucapan Imam al-Bukhari tersebut:

“Apa yang Al-Imam
al-Bukhari kata itu benar. Sesiapa yang melihat kalam beliau berkenaan al-jarh
wa al-ta’dil (kritikan dan pujian kepada perawi hadith) akan mengetahui
kewarakan beliau ketika berbicara tentang manusia dan keserhanaan beliau pada
perawi yang beliau daifkan. Beliau kerap kali gunakan istilah fihi nazar, sakatu
‘anhu, munkar al-hadith
dan
yang seumpama dengannya. Jarang sekali beliau akan kata: Si fulan itu pendusta
atau memalsukan hadith. Sehinggakan beliau berkata: Jika aku kata si fulan itu
ada pertikaian pada hadithnya, maka dia adalah perawi yang dituduh
(berdusta/memalsukan hadith) dan sangat daif. Inilah maksud perkataan beliau
‘tidaklah aku dihisab bahawa aku pernah mengumpat seorang pun’. Ini – demi
Allah – adalah setinggi-tinggi sifat warak.”

Guru-Guru

Imam Abu Abdillah
al-Hakim al-Naisaburi dalam kitab Tarikh Naisabur telah menyebutkan
senarai panjang guru-guru Imam al-Bukhari di merata-rata tempat yang beliau
meriwayatkan hadis daripada mereka. Antaranya:

1 – Mekah:

i) Abu al-Walid Ahmad
bin Muhammad al-Azraqi.

ii) Abdullah bin Yazid
al-Muqri’.

iii) Isma’il bin Salim
al-Sa’igh.

iv) Abu Bakar Abdullah
bin Zubair al-Humaidi.

2 – Madinah:

i) Ibrahim bin
al-Munzir al-Hizami.

ii) Mutarrif bin
Abdullah.

iii) Ibrahim bin
Hamzah.

iv) Abu Thabit Muhammad
bin Ubaidullah.

v) Abdul Aziz bin
Abdullah al-Uwaisi.

3 – Syam:

i) Muhammad bin Yusuf
al-Firyabi.

ii) Abu Nasr Ishaq bin
Ibrahim.

iii) Adam bin Abi
Iyas.

iv) Abu al-Yaman
al-Hakam bin Nafi’.

v) Haiwah bin Syuraih.

4 – Bukhara:

i) Muhammad bin Salam
al-Bikandi.

ii) Abdullah bin
Muhammad al-Musnadi.

iii) Harun bin
al-Asy’ath.

5 – Merv:

i) Ali bin al-Hasan
bin Syaqiq.

ii) Abdan.

iii) Muhammad bin
Muqatil.

6 – Balkh:

i) Makki bin Ibrahim.

ii) Yahya bin Bisyr.

iii) Muhammad bin
Aban.

iv) Al-Hasan bin Syuja’.

v) Yahya bin Musa.

vi) Qutaibah bin
Sa’id.

7 – Herat:

i) Ahmad bin Abi al-Walid
al-Hanafi.

8 – Naisabur:

i) Yahya bin Yahya.

ii) Bisyr bin
al-Hakam.

iii) Ishaq bin
Rahawaih.

iv) Muhammad bin
Rafi’.

v) Muhammad bin Yahya
al-Zuhli.

9) Ray

i) Ibrahim bin Musa.

10) Baghdad:

i) Muhammad bin Isa
al-Tabba’.

ii) Muhammad bin
Sa’iq.

iii) Suraij bin
al-Nu’man.

iv) Ahmad bin Hanbal.

11) Wasit:

i) Hassan bin Hassan.

ii) Hassan bin
Abdullah.

iii) Sa’id bin
Abdullah bin Sulaiman.

12 – Basrah:

i) Abu al-Asim al-Nabil.

ii) Safwan bin Isa.

iii) Badl bin
al-Muharrab.

iv) Harami bin Umarah.

v) Affan bin Muslim.

vi) Muhammad bin
‘Ar’arah.

v) Sulaiman bin Harb.

vi) Abu al-Walid
al-Tayalisi.

vii) ‘Arim.

viii) Muhammad bin
Sinan.

13) Kufah:

i) ‘Ubaidullah bin
Musa.

ii) Abu Nu’aim.

iii) Ahmad bin Ya’qub.

iv) Isma’il bin Aban.

v) Al-Hasan bin
al-Rabi’.

vi) Khalid bin
Makhlad.

vii) Sa’id bin Hafs.

viii) Thalaq bin
Ghannam.

ix) ‘Amru bin Hafs.

x) Qabisah bin ‘Uqbah.

xi) Abi Ghassan.

14 – Mesir:

i) ‘Uthman bin Soleh.

ii) Sa’id bin Abi
Maryam.

iii) Abdullah bin
Soleh.

iv) Ahmad bin Soleh.

v) Ahmad bin Syabib.

vi) Asbagh bin
al-Faraj.

vii) Sa’id bin Isa.

viii) Sa’id bin Kathir
bin ‘Ufair.

ix) Yahya bin Abdullah
bin Bukair.

15 – Semenanjung
Arab:

i) Ahmad bin Abdul
Malik al-Harrani.

ii) Ahmad bin Yazid
al-Harrani.

iii) ‘Amru bin Khalid.

iv) Isma’il bin
Abdullah al-Raqi.

Al-Hakim berkata:

“Al-Bukhari –
semoga Allah merahmatinya – telah mengembara ke tempat-tempat yang telah
disebutkan ini untuk menuntut ilmu. Beliau telah tinggal di setiap bandar
negara-negara berkenaan untuk belajar daripada guru-guru di bandar tersebut.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar
pula telah menyebutkan peringkat-peringkat guru-guru beliau yang dapat
dibahagikan kepada lima peringkat:

Peringkat pertama: Guru
yang sempat meriwayatkan daripada tabi’in

Antaranya ialah
Muhammad bin Abdullah al-Ansar yang meriwayatkan daripada Humaid, Makki bin
Ibrahim daripada Yazib bin Abi ‘Ubaid, Abi ‘Asim al-Nabil daripada Yazid bin
Abi ‘Ubaid juga, ‘Ubaidullah bin Musa daripada Isma’il bin Abi Khalid, Abu
Nu’aim daripada al-A’masy, Khallad bin Yahya dariada ‘Isa bin Tahman, ‘Ali bin
‘Ayyash dan ‘Isam bin Khalid daripada Hariz bin ‘Uthman. Guru-guru mereka itu
semuanya daripada kalangan tabi’in.

Peringkat kedua:
Guru yang sempat hidup di zaman tabi’in tetapi tidak meriwayatkan hadis
daripada tabi’in yang thiqah

Seperti Adam bin Abi
Iyas, Abu Mushir Abdul A’la bin Mushir, Sa’id bin Abi Maryam, Ayyub bin
Sulaiman bin Bilal, Hajjaj bin al-Minhal, Thabit bin Muhammad al-Zahid dan selain
mereka yang merupakan murid kepada al-Auza’i, Ibnu Abi Zi’b, al-Thauri, Syu’bah
dan Malik.

Peringkat ketiga:
Peringkat pertengahan

Iaitu mereka yang
tidak sempat bertemu tabi’in sebaliknya mengambil hadis daripada tabi’
tabi’in
yang senior seperti Sulaiman bin Harb, Qutaibah bin Sa’id, Nu’aim
bin Hammad, ‘Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma’in, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin
Rahawaih, Abu Bakar Ibnu Abi Syaibah, ‘Uthman Ibnu Abi Syaibah dan lain-lain.

Guru-guru beliau di
peringkat ini juga merupakan guru kepada Imam Muslim.

Peringkat keempat:
Sahabat beliau yang sama-sama belajar dengan beliau, cuma mereka lebih awal
belajar daripada beliau

Seperti Muhammad bin
Yahya al-Zuhli, Abu Hatim al-Razi, Muhammad bin Abdul Rahim Sa’iqah, ‘Abd bin
Humaid, Ahmad bin al-Nadhr dan lain-lain.

Hadis yang
diriwayatkan melalui guru di peringkat ini hanyalah beliau sebutkan sekiranya
beliau tidak dapati ada pada guru-guru beliau yang lain.

Peringkat kelima: Perawi
yang boleh dianggap sebagai murid beliau dari segi umur dan kedudukan sanad

Antaranya ialah
Abdullah bin Hammad al-Amuli, Abdullah bin Ubai al-Qadhi, Hussein bin Muhammad
al-Qabbani, Muhammad bin Ishaq al-Sarraj, Muhammad bin Isa al-Tirmizi dan
selain mereka.

Bilangan hadis yang
beliau riwayatkan daripada mereka hanyalah sedikit dan tujuan periwayatan
tersebut adalah untuk faedah tertentu seperti untuk beramal sebagaimana yang
diucapkan oleh Waki’ bin Jarrah:

“Seorang itu tidak
akan menjadi alim sehinggalah dia meriwayatkan hadis daripada guru yang lebih
hebat daripadanya, yang sama sepertinya dan yang lebih rendah daripadanya.”

Imam al-Bukhari
sendiri pernah berkata:

“Seorang itu tidak
dapat menjadi ahli hadis yang sempurna sehinggalah dia menulis hadis daripada
guru yang lebih hebat daripadanya, yang sama sepertinya dan yang lebih rendah
daripadanya.”

Guru-guru beliau yang
disebutkan periwayatan mereka dalam Sahih al-Bukhari berjumlah 324 orang
kesemuanya. Di kalangan 324 orang guru tersebut terdapat kira-kira 20 orang
guru yang paling kerap disebutkan periwayatan mereka, iaitu: Musaddad bin
Musarhad, Abdullah bin Yusuf al-Tinnisi, Qutaibah bin Sa’id al-Thaqafi, Ali bin
Abdullah al-Madini, al-Hakam bin Nafi’ al-Homsi, Musa bin Isma’il al-Tabuzaki,
Isma’il bin Abdullah bin Abi Uwais, Abdullah bin Muhammad al-Ju’fi al-Musnidi,
Adam bin Abi Iyas al-‘Asqalani, Yahya bin Abdullah bin Bukair, Muhammad bin
Basyar Bundar dan Abu Nu’aim Fadl bin Dukain.

Penulisan tentang
senarai guru-guru al-Bukhari:

1 – Asami Man Rawa
‘Anhum Muhammad bin Isma’il al-Bukhari Min Mashayikhihi Allazi Zakarahum Fi
Jami’ihi al-Sahih ‘Ala Huruf al-Mu’jam
karangan Abu Ahmad Abdullah bin ‘Adi
al-Jurjani.

2 – Asami Mashayikh
al-Imam al-Bukhari
karangan Muhammad bin Ishaq ibn Mandah al-Asbahani.

3 – Asami Shuyukh
al-Bukhari
karangan Radhiuddin al-Hasan bin Muhammad al-Saghani.

4 – Al-Mu’lim Bi
Asami Shuyukh al-Bukhari Wa Muslim
karangan Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir
al-Maqdisi.

5 – Al-Ta’rif Bi
Shuyukh Haddatha ‘Anhum al-Bukhari Wa Ahmala Ansabahum
karangan Abu ‘Ali
al-Husain bin Muhammad al-Ghassani.

Murid-Murid

Murid-murid Imam
al-Bukhari tidak terbilang banyaknya sehingga dikatakan bahawa terdapat
sembilan puluh ribu orang yang telah mendengar Sahih al-Bukhari daripada
beliau.

Soleh Jazarah berkata:

“Muhammad bin
Ismail mengadakan majlis di Baghdad. Aku menjadi tukang imlak untuk beliau.
Terdapat lebih daripada dua puluh ribu orang yang berhimpun dalam majlis
beliau.”

Muhammad bin Ya’qub
al-Akhram berkata:

“Aku mendengar
sebahagian sahabatku berkata: Apabila al-Bukhari datang ke Naisabur, terdapat
empat ribu orang yang datang untuk bertemu beliau sama ada menaiki kuda,
baghal, kedai mahupun berjalan kaki.”

Begitulah kemasyhuran
Imam al-Bukhari sama ada di sisi ahli ilmu mahupun masyarakat awam. Namanya
menjadi sebutan di bibir manusia di sana sini. Mereka menjadikannya rujukan
yang diambil daripadanya hadis, athar, ilmu sanad, ilal, rijal
dan lain-lain sehingga lahirlah di bawah asuhannya gergasi dan pakar dalam ilmu
hadis. Antaranya ialah:

1 – Imam Muslim bin
al-Hajjaj (m. 261 H). Beliau meriwayatkan hadis daripada al-Bukhari dalam
kitab-kitab beliau selain Sahih Muslim.

2 – Imam Muhammad bin
Isa al-Tirmizi (m. 279 H). Beliau mengambil daripada al-Bukhari ilmu berkenaan analisis
hadis dan perawi. Dalam Sunan al-Tirmizi terdapat 41 buah hadis yang
beliau riwayatkan melalui al-Bukhari.

3 – Imam Ahmad bin
Syu’aib al-Nasa’i (m. 303 H). Ulama berbeza pendapat tentang periwayatan beliau
daripada al-Bukhari. Al-Mizzi dan al-Zahabi menafikannya manakala Ibnu Hajar
mensabitkannya.

4 – Imam Abu Zur’ah
al-Razi (m. 246 H).

5 – Imam Abu Hatim
al-Razi (m. 277 H).

6 – Imam Muhammad bin
Abdullah bin Sulaiman al-Hadrami yang digelar Mutayyan (m. 297 H).

7 – Imam Abu Bakar
Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah al-Sulami al-Naisaburi (m. 311 H).

8 – Imam Muhammad bin
Nasr al-Marwazi (m. 294 H).

9 – Imam Soleh bin
Muhammad bin Amru al-Asadi al-Baghdadi yang digelar Soleh Jazarah (m. 293 H).

10 – Imam Abu Bakar
Abdullah bin Muhammad bin Abi al-Dunya al-Qurasyi al-Baghdadi (m. 281 H).

11 – Imam Yahya bin
Muhammad bin So’id al-Baghdadi (m. 318 H).

12 – Imam Abu Bakar
Abdullah bin Imam Abu Daud al-Sijistani (m. 316 H).

13 – Imam Ibrahim bin
Ishaq al-Harabi al-Baghdadi (m. 285 H).

14 –  Imam Abu Hamid Ahmad bin Hamdun al-Naisaburi
al-A’masyi (m. 321 H).

15 – Imam Abu Bakar
Ahmad bin Amru bin Abi ‘Asim al-Nabil al-Asbahani (m. 287 H).

16 – Imam Abu bin
Salamah bin Abdullah al-Naisaburi (m. 286 H).

17 – Imam Abu Amru
Ahmad bin Nasr al-Naisaburi al-Khaffaf (m 299 H).

18 – Imam al-Hussein
bin Muhammad bin Hatim al-Baghdadi, yang digelar ‘Ubaid al-‘Ajl (m. 294 H).

19 – Imam Umar bin
Muhammad bin Bujair al-Hamdani al-Samarqandi (m. 311 H).

20 – Imam Muhammad bin
Sulaiman al-Wasiti al-Baghandi (m. 312 H)

21 – Imam Abu Ja’far
Muhammad bin Abi Hatim, tukang tulis Imam al-Bukhari.

22 – Imam Ibrahim bin
Musa al-Jauzi (m. 303 H).

23 – Imam Abu Bakar
Ahmad bin Amru al-Bazzar (m. 292 H), pengarang Musnad al-Bazzar.

24 –
Imam Abu Bakar Ahmad bin Harun al-Bardiji (m. 301 H).

25 – Imam Ja’far bin
Muhammad bin Musa al-Naisaburi (meninggal selepas 310 Hijrah).

26 – Al-Hussein bin
Muhammad al-Naisaburi (m. 289 H).

27 – Zanjawaih bin
Muhammad bin al-Hasan al-Naisaburi (m. 318 H).

28 – Abdullah bin
Ahmad bin Abdul Salam al-Naisaburi (m. 294 H).

29 – Imam Abu al-Qasim
Abdullah bin Muhammad al-Baghawi al-Baghdadi (m. 318 H).

30 – Imam Abdullah bin
Muhammad bin Najih al-Barbari al-Baghdadi (m. 301 H).

31 – Imam Ubaidullah
bin Wasil bin Abdul Syakur al-Bukhari (m. 272 H).

32 – Imam Ali bin
al-Hussein bin al-Junaid al-Razi (m. 291 H).

33 – Ali bin al-Abbas
bin al-Walid al-Maqabi’i al-Kufi (m. 310 H).

34 – Imam al-Qasim bin
Zakariyyah bin Yahya al-Baghdadi, yang dikenali sebagai al-Mutharriz (m. 305
H).

35 – Imam Abu Bisyr
Muhammad bin Ahmad al-Daulabi al-Razi (m. 310 H).

36 – Imam Abu Quraisy
Muhammad bin Jum’ah bin Khalaf al-Quhustani (m. 313 H).

37 – Imam Abu Bakar
Muhammad bin Abi ‘Attab al-Baghdadi al-A’yan (m. 240 H).

38 – Imam Muhammad bin
Harun bin Abdullah al-Hadrami al-Baghdadi (m. 321 H).

39 – Musa bin Harun
bin Abdullah al-Baghdadi al-Hammal (m. 294 H)

40 – Imam Ya’qub bin
Yusuf al-Syaibani al-Naisaburi al-Akhram (m. 282 H)

Murid-murid yang
meriwayatkan Sahih al-Bukhari daripada beliau pula ialah:

1 – Muhammad bin Yusuf
al-Firabri (m. 320 H). Beliau merupakan perawi Sahih al-Bukhari yang
paling masyhur.

2 – Ibrahim bin Ma’qal
al-Nasafi (m. 295 H).

3 – Hammad bin Syakir
al-Nasawi (m. 310 H).

4 – Mansur bin
Muhammad al-Bazdawi (m. 329 H).

Pujian Ulama Kepada
Imam al-Bukhari

Dengan kedudukan yang
tinggi dan pengguasaan beliau yang mendalam terhadap ilmu terutamanya ilmu
hadis maka tidak menghairankan apabila beliau dipuji oleh guru-gurunya, ulama
sezaman dengannya mahupun ulama yang datang setelah itu.

1 – Seorang
lelaki bertanya kepada Qutaibah bin Sa’id tentang al-Bukhari. Beliau menjawab: “Wahai
kamu semua, aku telah melihat kepada hadis dan aku telah melihat kepada qiyas
(al-ra’yu). Aku telah duduk bersama fuqaha’, ahli ibadat dan orang-orang yang
zuhud. Semenjak aku berakal (yakni semenjak aku boleh berfikir) aku tidak
pernah melihat orang semisal Muhammad bin Isma’il.”

2 – Ahmad bin Hanbal berkata:

Tidak keluar dari Khurasan orang semisal
Muhammad bin Isma’il al-Bukhari.

3 – Ibnu Khuzaimah berkata:

“Tidak ada orang di bawah naungan langit
ini yang mengetahui tentang hadis Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam lebih
daripada Muhammad bin Isma’il.”

Al-Hafiz Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir
al-Maqdisi berkata:

“Cukuplah bagi kamu apabila imam bagi sekelian
imam-imam iaitu Ibnu Khuzaimah mengungkapkan pujian ini sedangkan beliau telah
bertemu dengan imam-imam dan syeikh-syeikh di timur dan barat. Tidak pelik
pujian ini kerana seluruh syeikh (yakni ulama) telah sepakat akan kehebatan
al-Bukhari dan mereka telah meletakkan beliau lebih  tinggi daripada diri mereka sendiri semenjak
zaman remaja beliau manakala Ibnu Khuzaimah pula melihat beliau setelah beliau
tua dan tidak ada bandingannya dalam ilmu ini (yakni ilmu hadis).

4 – Beliau juga telah dipuji oleh ulama
yang sezaman dengannya. Abu Hatim al-Razi berkata:

“Tidak pernah keluar dari Khurasan orang
yang lebih hebat penguasaan hadisnya melebihi Muhammad bin Isma’il dan tidak
pernah ada orang yang datang dari Khurasan ke Iraq yang lebih alim
daripadanya.”

5 – 
Al-Hakim meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Imam Muslim pernah datang
kepada al-Bukhari lalu mencium di antara dua matanya lantas berkata:

“Biarkan aku mencium kedua kakimu wahai
guru sekelian guru-guru, ketua ahli hadis dan doktor hadis pada ilalnya.”

Imam Muslim juga pernah berkata:

 “Tidak
ada yang membencimu melainkan orang yang dengki. Aku bersaksi bahawa tiada di
dunia ini orang semisal engkau.”

6 – Al-Hakim berkata: Aku mendengar al-Hafiz
Muhammad bin Ya’qub berkata: Aku mendengar bapaku berkata:

“Aku melihat Muslim bin al-Hajjaj duduk di
hadapan al-Bukhari dan menanyakannya soalan sebagaimana kanak-kanak bertanyakan
soalan.”

7 – Ibrahim al-Khawas berkata:

“Aku melihat Abu Zur’ah seperti kanak-kanak
yang duduk di hadapan Muhammad bin Isma’il. Beliau menanyakannya soalan tentang
‘ilal hadis.”

8 – Imam al-Nawawi
dalam Tahzib al-Asma’ Wa al-Lughat berkata:

“Ketahuilah bahawa
mensifatkan al-Bukhari dengan kedudukan yang tinggi dan menyatakan kehebatan
beliau dalam ilmu ini (ilmu hadis) melebihi orang yang seumpama dan sezaman
dengan beliau adalah perkara yang disepakati pada masa dahulu dan kemudian.
Cukuplah untuk menyatakan kelebihan beliau bahawa kebanyakan orang yang memuji
beliau dan menyebarkan manaqib (sifat baik) beliau adalah para gurunya yang
merupakan tokoh yang tekemuka, bijak pandai lagi unggul.”

9 – Adapun pujian
ulama yang datang selepas zaman beliau, al-Hafiz al-Mizzi dalam Tahzib
al-Kamal
yang berkata tentang beliau:

“Imam dalam ilmu
ini (ilmu hadis), yang dijadikan ikutan dalam ilmu ini dan orang yang dijadikan
pegangan pada kitabnya di kalangan orang Islam.”

10 – Al-Hafiz Ibnu
Nasiruddin al-Dimasyqi dalam Tuhfah al-Akhbari berkata:

“Ahli ilmu dirayah
belajar dengannya. Begitu juga ahli ilmu riwayat mengambil manfaat daripadanya.
Dialah yang tunggal pada zamannya. Seorang yang menjaga lisannya. Seorang yang
warak pada seluruh keadaannya. Sifat ini juga disertai dengan ilmu beliau yang
melimpah-limpah dan ketelitian beliau yang bersangatan. Sangat mengambil berat
tentang khabar (hadis). Unggul hafalannya terhadap sunnah dan athar. Sangat
mengetahui tentang sejarah perawi dan kritikan terhadap mereka. Berserta sangat
menjaga waktu beliau dan ibadah yang berterusan sehingga kematian beliau.”

11 – Al-Hafiz
al-Zahabi berkata:

“Syeikh
al-Islam. Imam sekalian huffaz. Kemuncak dalam kebijaksanaan. Kemuncak dalam
ilmu. Kemuncak dalam kewarakan dan ibadat. Aku tulis manaqibnya dalam satu
juzuk kitab yang tebal yang di dalamnya ada perkara yang menakjubkan.”

12 – Al-Hafiz
Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata:

“Jikalau
dibuka pintu puji-pujian kepadanya oleh orang yang datang kemudian daripada
zamannya nescaya akan habislah kertas-kertas dan penatlah jiwa-jiwa (untuk
mengungkapkannya) kerana ia ibarat lautan yang tidak bertepi.”

13 – Al-Hafiz
al-Sakhawi berkata:

“Sesiapa yang
meneliti ijtihad beliau berkaitan fiqh dalam Jami’nya nescaya akan mengetahui
bahawa beliau seorang mujtahid yang sebenar.”

Kitab-Kitab
Penulisannya

Imam al-Bukhari
menghasilkan penulisan yang pelbagai yang secara umumnya tidak terkeluar dari
ruang lingkup ilmu hadis dan sunnah. Sebahagiannya berkaitan periwayatan hadis,
sebahagian yang lain pula berkaitan dengan perawi hadis dan ‘ilal hadis.
Kesemua hadis penulisan ini menunjukkan keimaman, keluasan ilmu dan kepakaran
beliau dalam ilmu yang mulia ini. Karya beliau dapat dibahagikan kepada kategori
berikut:

Pertama:
Kitab-Kitab Hadis

1 – Al-Jami’
al-Sahih
atau Sahih al-Bukhari.

Hasil karya beliau
yang teragung. Merupakan kitab yang paling sahih setelah al-Quran. Kitab ini
telah disepakati oleh ulama sepanjang zaman akan kesahihannya dan ketinggian
kedudukannya. Kitab ini juga menjadi bukti kehebatan, ketelitian dan kepakaran
Imam al-Bukhari dalam bidang hadis. Bukti keagungan kitab ini adalah terdapat
ramai ulama dahulu dan kini yang berkhidmat untuk kitab ini sama ada
mensyarahkannya, meringkaskannya, menghimpunkan senarai perawi-perawi hadisnya,
berbicara tentang perkataan gharib (ganjil) yang terdapat di dalamnya, melakukan
istikhraj bagi hadis-hadisnya dan khidmat-khidmat yang lain.

2 – Al-Adab
al-Mufrad
.

Kitab ini yang
mengandungi sebanyak 1322 buah hadis yang berkaitan dengan dengan pendidikan
dan pembentukan adab serta akhlak yang mulia. Kitab ini telah diterbitkan.

3 – Birr
al-Walidain
.

Menghimpunkan hadis
dan athar berkaitan kewajipan berbuat baik dan mentaati ibu bapa. Kitab
ini telah diterbitkan.

4 – Raf’u al-Yadain
Fi al-Solah
.

Imam al-Bukhari
mengumpulkan riwayat yang sangat banyak daripada Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam
dan sahabat yang menunjukkan bahawa perbuatan mengangkat tangan
dalam solat adalah sunnah yang sabit dan menolak pendapat orang yang
mengingkari perkara tersebut. Kitab ini telah diterbitkan.

5 – Al-Qiraah
Khalfa al-Imam
.

Menghimpunkan
dalil-dalil yang membuktikan kewajipan membaca al-Quran apabila bersolat di
belakang imam. Kitab ini telah diterbitkan.

6 – Kitab
al-Asyribah
.

Disebutkan oleh
al-Daraqutni dalam al-Mu’talif Wa al-Mukhtalif.

7 – Kitab al-Hibah.

Disebutkan oleh juru
tulis Imam al-Bukhari, Muhammad bin Abi Hatim sebagaimana dalam kitab Siyar
A’lam al-Nubala’
.

8 – Al-Jami’
al-Kabir
.

Disebutkan oleh Abu
al-Fadl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz
Ibnu Hajar dalam Hadyu al-Sari.

9 – Al-Jami’
al-Saghir
.

Disebutkan oleh Haji
Khalifah dalam Kasyf al-Zunun.

10 – Al-Musnad
al-Kabir
.

Disebutkan oleh
Muhammad bin Yusuf al-Firabri sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu
Hajar dalam Hadyu al-Sari.

11 – Al-Mabsuth.

Kitab ini diusahakan
oleh Imam al-Bukhari sebelum kitab Sahih-nya. Beliau menghimpunkan semua
hadis
nya lalu disusun berdasarkan bab. Kemudian beliau
melihat kepada hadis yang paling sahih yang beliau rencanakan lalu beliau
keluarkan semua sanad-sanadnya. Disebutkan oleh Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir
al-Maqdisi sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Taghliq
al-Ta’liq
.

12 – Al-Wuhdan.

Dalam kitab ini Imam
al-Bukhari senarai sahabat yang diriwayatkan daripada mereka sebuah hadis
sahaja. Kitab ini telah disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam
Hadyu al-Sari.

13 – Al-Fawaid.

Disebutkan oleh
al-Tirmizi dalam Jami’-nya.

14 – Al-‘Ilal.

 Disebutkan oleh Ibnu Mandah sebagaimana yang
dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Hadyu al-Sari.

15 – Al-Masyaikhah.

Disebutkan oleh
al-Hafiz al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam.

Kedua: Kitab
Sejarah Perawi

1 – Al-Tarikh
al-Kabir
.

Kitab ini adalah
sebuah ensiklopedia besar yang menghimpunkan senarai perawi-perawi hadis. Kitab
ini dianggap yang pertama berjaya menghimpunkan hampir keseluruhan nama-nama
perawi hadis di kalangan sahabat, tabi’in dan zaman seterusnya sehingga
ke zaman Imam al-Bukhari.

Nama-nama perawi dalam
kitab ini disusun berdasarkan susunan abjad tetapi beliau mendahulukan perawi
bernama Muhammad kerana kemuliaan nama tersebut. Begitu juga beliau
mendahulukan senarai nama sahabat kerana kelebihan mereka.

Bagi setiap biografi
perawi tersebut terkandung nama perawi, nama bapa dan datuknya, nasabnya,
kunyahnya, sebahagian guru dan muridnya dan contoh hadis yang diriwayatkannya
yang disebutkan secara ringkas. Al-Bukhari juga mengambil berat untuk
menerangkan dari sudut kebersambungan (ittisal) dan keterputusan (inqita’
dan irsal) bagi hadis yang diriwayatkan oleh perawi itu. Selain itu
beliau juga memuatkan kritikan dan pujian (jarh wa ta’dil) kepada
kebanyakan perawi tersebut yang beliau nukilkan daripada ahli hadis sebelum
beliau atau berdasarkan pendapat beliau sendiri. Terdapat 13990 buah biografi
perawi dalam kitab ini. Kitab ini telah diterbitkan.

2 – Al-Tarikh
al-Ausat
.

Imam al-Bukhari
memulakan kitab ini dengan kisah penghijrahan ke Habsyah, lalu diikuti dengan sirah
nabi ketika zaman Mekah dan Madinah, biografi sahabat yang meninggal dunia
ketika zaman Nabi, kemudian sahabat yang meninggal dunia ketika zaman Khulafa’
al-Rashidin yang empat. Setelah itu beliau membincangkan tentang perawi hadis,
kisah-kisah mereka dan tarikh kematian mereka yang disusun berdasarkan turutan
zaman sehingga tahun 250 Hijrah.

Perhatian: Kitab ini telah diterbitkan di India pada
tahun 1324 H, diterbitkan  oleh Dar
al-Wa’ie pada tahun 1397 H dan diterbitkan oleh Dar al-Ma’rifah pada tahun 1406
H dengan nama yang salah iaitu al-Tarikh al-Saghir. Setelah itu kitab
ini diterbitkan semula dengan namanya yang tepat oleh penerbit Dar al-Sami’ie
dengan tahqiq Muhammad bin Ibrahim al-Luhaidan pada tahun 1418 H.


3 – Al-Tarikh
al-Saghir
.

Kitab ini khas
menghimpunkan senarai nama sahabat dan kitab ini adalah yang pertama dan
kategori ini.

4 – Al-Kuna.

Kitab ini adalah
penyempurna kepada kitab al-Tarikh al-Kabir. Abu Ahmad al-Hakim
menyebutkan judulnya sebagai al-Kuna al-Mujarradah. Al-Hafiz  Ibnu Hajar al-‘Asqalani pula menyebutkannya
sebagai al-Kuna al-Mufradah dan kadang-kala menamakannya sebagai al-Kuna
al-Mujarradah
. Kebanyakan perawi yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari dalam
kitab ini hanya diketahui gelaran mereka dan tidak diketahui nama sebenar
mereka.

5 – Asami
al-Sahabah
.

Disebutkan oleh Ibnu
Mandah sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Hadyu
al-Sari.

6 – Al-Dhu’afa’
al-Saghir
dan al-Dhu’afa’ al-Kabir.

Sebahagian ulama
menyandarkan kitab al-Dhu’afa’ ini kepada al-Bukhari tanpa menentukannya
sebagai al-Saghir atau al-Kabir, antaranya Ibnu al-Nadim, Ibnu
Hajar al-‘Asqalani dan lain-lain.

Ulama yang lain pula
menyebutkan bahawa al-Bukhari mempunyai dua buah kitab berkenaan perawi-perawi
daif (al-Dhu’afa’) iaitu al-Saghir dan al-Kabir, antaranya
al-Mizzi, al-Zahabi, Ibnu Nasiruddin al-Dimasyqi dan lain-lain.

Jumlah biografi perawi
dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir adalah seramai 700 orang manakala dalam al-Dhu’afa’
al-Saghir
hanya seramai 418 orang sahaja.

Biografi dalam al-Saghir
disebutkan secara ringkas sahaja manakala dalam al-Kabir dinyatakan
secara panjang lebar. Begitu juga dalam al-Kabir juga dikemukakan
riwayat-riwayat bagi perawi tersebut yang maka perawi tersebut menjadi punca
kedaifan riwayat itu. Perkara ini disebutkan sedikit sahaja dalam al-Saghir.

Ketiga: Kitab
Tafsir

1 – Al-Tafsir
al-Kabir
.

Disebutkan oleh murid
al-Bukhari, al-Firabri dan juru tulisnya, Muhammad bin Abi Hatim.
Al-Bukhari mengarang tafsir ini di
Firab (sebuah bandar di
Turkmenistan).

Keempat: Kitab Akidah

1 – Khalq Af’al al-‘Ibad Wa al-Radd ‘Ala
al-Jahmiyyah Wa Ashab al-Ta’til
.

Dalam kitab ini al-Bukhari menjelaskan tentang
masalah akidah iaitu perbezaan antara kalam Allah dan kalam makhluk. Kalam
Allah adalah satu sifat daripada sifat-sifat-Nya dan bukan makhluk. Ini berbeza
dengan kalam manusia dan perbuatan mereka, ia adalah makhluk. Beliau juga
menolak pendapat Mu’tazilah dan Jahmiyyah yang menafikan sifat ini bagi Allah
dan mereka berpendapat bahawa kalam Allah adalah baharu dan makhluk. Kitab ini
masyhur dan telah diterbitkan beberapa kali.

Kitab-kitab
yang telah disebutkan ini ada di antaranya yang sudah diterbitkan dan ada yang
masih dalam bentuk manuskrip. Begitu juga ada yang hanya dapat diketahui kerana
ada sebahagian ulama menyebutkannya dan menukilkannya daripada al-Bukhari
sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Konflik
Bersama Gurunya, Muhammad bin Yahya al-Zuhli

Imam
Muhammad bin Yahya al-Zuhli (m. 258H) merupakan salah seorang ulama besar hadis
yang mempunyai reputasi yang tinggi di Nisabur. Kedudukan beliau seumpama
kedudukan Imam Ahmad bin Hanbal di Baghdad dan Imam Malik bin Anas di Madinah.
Ramai murid yang meriwayatkan hadis daripada beliau, antaranya Imam al-Bukhari
sendiri. Al-Zuhli merupakan gurunya yang berada di peringkat keempat di antara guru-guru
beliau iaitu mereka yang tergolong di kalangan
sahabat beliau yang sama-sama belajar dengan beliau, cuma mereka lebih
awal belajar daripada beliau. Konflik yang berlaku antara al-Bukhari dengan
gurunya al-Zuhli ini disebabkan oleh masalah lafaz al-Quran.

Masalah lafaz al-Quran
yang dimaksudkan di sini adalah adakah al-Quran yang kita lafazkan itu dikira
sebagai makhluk atau bukan?

Ringkasnya pendapat
yang tepat dalam masalah ini adalah pendapat Ahli Sunnah Wal Jama’ah (di
antaranya ialah pendapat Imam al-Bukhari) iaitu al-Quran adalah kalam Allah dan
bukan makhluk. Apabila kita membaca al-Quran, kita membacanya dengan suara kita
yang bersifat makhluk. Al-Quran yang kita bacakan itu adalah kalam Allah yang
disampaikan daripadaNya. Kita membacanya pergerakan lidah dan suara kita. Kalam
tersebut adalah kalam Allah dan suaranya adalah suara pembacanya.

Inilah yang dijawab
oleh Imam al-Bukhari tatkala beliau ditanya berulang-kali: “Apa pendapat
kamu tentang lafaz al-Quran? Makhluk atau bukan makhluk?”
Beliau menjawab: “Al-Quran
adalah kalam Allah, bukan makhluk. Perbuatan hamba adalah makhluk.”

Al-Zahabi berkata:

“Adapun al-Bukhari,
beliau adalah di kalangan ulama besar yang bijaksana.

Beliau berkata: Apa
yang aku katakan bahawa al-Quran yang kita lafazkan itu makhluk (maka yang aku
maksudnya ialah) pergerakan (lidah), suara dan perbuatan yang bersifat makhluk.
Al-Quran yang dibaca, dilafazkan dan tertulis dalam mushaf adalah kalam Allah,
bukan makhluk.

Beliau mengarang kitab
Af’al al-‘Ibad dalam satu jilid untuk menerangkan perkara tersebut. Sekumpulan
ulama mengingkari beliau. Mereka tidak memahami apa yang beliau kehendaki.
Seperti al-Zuhli, Abu Zur’ah, Abu Hatim, Abu Bakar al-A’yan dan selain mereka.”

Pendapat
Imam al-Bukhari tentang lafaz al-Quran ini telah disokong oleh Imam Muslim.
Apabila Imam al-Bukhari masuk ke Naisabur, Imam Muslim berkali-kali datang
bertemu dengannya. Setelah itu berlaku konflik antara al-Bukhari dan al-Zuhli berkaitan
lafaz al-Quran sehingga al-Zuhli melarang orang ramai belajar dengan al-Bukhari
sehinggalah membuatkan al-Bukhari dipulau lalu keluar meninggalkan Naisabur.
Ramai orang memutuskan hubungan dengan al-Bukhari melainkan Imam Muslim.
Apabila sampai berita ini kepada al-Zuhli beliau berkata: “Sesiapa yang
mengatakan lafaz al-Quran adalah makhluk maka tidak halal baginya untuk duduk
dalam majlis kami.”
Setelah itu Imam Muslim menghantar semula hadis-hadis
yang beliau tulis daripada al-Zuhli.

Imam
Tajuddin al-Subki berkata:

“Orang
yang bersikap adil tidak akan berasa ragu lagi bahawa Muhammad bin Yahya
al-Zuhli telah terkena penyakit hasad yang tidak ada orang yang terselamat
daripadanya melainkan orang-orang yang dipelihara (oleh Allah).”

Apabila
Imam al-Bukhari mula-mula tiba di Naisabur, al-Zuhli berkata kepada orang
ramai: “Pergilah kepada lelaki yang soleh dan alim ini dan dengarkanlah
hadis daripadanya.”
Maka ramai orang yang pergi ke majlis Imam al-Bukhari
dan mendengar hadis daripadanya sehingga tampak kekosongan dalam majlis-majlis
al-Zuhli. Setelah itu, al-Zuhli merasa hasad dengannya dan mula mempertikaikan
al-Bukhari.

Ibnu ‘Adi
berkata:

“Sekumpulan
syeikh telah menyebutkan kepadaku bahawa apabila al-Bukhari tiba di Naisabur
maka ramailah orang yang berkumpul kepadanya. Sebahagian syeikh di Naisabur
pada ketika itu mula merasa hasad kepadanya apabila mereka melihat penerimaan
orang ramai terhadapnya dan mereka berkumpul dengannya. Orang itu berkata
kepada ahli hadis: Muhammad bin Isma’il mengatakan: Lafaz al-Quran adalah
makhluk. Maka mereka mengujinya dalam majlisnya. Apabila orang ramai menghadiri
majlis al-Bukhari, seorang lelaki berdiri dan bertanya kepadanya: Wahai Abu
Abdillah, apa pendapat kamu tentang lafaz
al-Quran? Makhluk atau bukan makhluk? Al-Bukhari berpaling daripadanya dan
tidak menjawab. Lelaki itu bertanya lagi:
Wahai Abu Abdillah dan dia bertanya soalan yang sama. Al-Bukhari tetap berpaling
daripadanya. Dia bertanya kali ketiga lalu al-Bukhari berpaling kepadanya dan
berkata: Al-Quran kalam Allah, bukan makhluk. Perbuatan hamba adalah makhluk.
Menguji adalah bid’ah. Lelaki itu mula menimbulkan kerusuhan sehingga orang
ramai juga turut menjadi huru-hara dan meninggalkan al-Bukhari. Al-Bukhari
tinggal tetap di rumahnya.”

Abu Hamid al-A’masyi
berkata:

“Aku melihat
Muhammad bin Isma’il sewaktu pengkebumian jenazah Abu ‘Uthman Sa’id bin Marwan.
Muhammad bin Yahya bertanyakan kepadanya tentang nama-nama dan gelaran perawi
serta ‘ilal hadis. Muhammad bin Isma’il menjawabnya seperti anak panah
seolah-olah dia membaca Qul Huwa Allahu Ahad.

Tidak lama setelah
itu Muhammad bin Yahya berkata: Ingatlah, sesiapa yang pergi ke majlisnya maka
jangan datang ke majlis kami. Ahli hadis di Baghdad menulis (surat) kepadaku
bahawa dia bercakap tentang lafaz al-Quran. Kami telah melarangnya tetapi dia
tidak berhenti. Maka jangan dekatinya. Sesiapa yang mendekatinya maka jangan
mendekati kami.

Muhamamd bin
Isma’il tinggal di situ (Naisabur) selama beberapa ketika kemudia dia keluar
menuju ke Bukhara.”

Al-Zahabi berkata:

“Muhammad bin
Isma’il secara sembunyi-sembunyi bermusafir keluar dari Naisabur dan menderita
disebabkan perbuatan al-Zuhli.”

Konflik
Bersama Pemimpin Bukhara, Khalid bin Ahmad

Apabila
Imam al-Bukhari datang ke Bukhara, beliau disambut oleh penduduk Bukhara yang
telah bersedia menerima kedatangan beliau. Mereka memberikan kepada beliau wang
dinar dan dirham. Tidak ada orang lelaki daripada penduduk Bukhara melainkan
mereka akan keluar menyambut Imam al-Bukhari. Imam al-Bukhari tinggal di situ
selama beberapa hari. Setelah itu Muhammad bin Yahya al-Zuhli menulis surat
kepada Khalid bin Ahmad, pemimpin Bukhara. Al-Zuhli berkata: “Lelaki ini
telah menzahirkan perkara yang menyelisihi sunnah.”
Khalid bin Ahmad
membacakan surat tersebut kepada penduduk Bukhara. Mereka berkata: “Kami
tidak mahu meninggalkannya.”
Khalid bin Ahmad lalu memerintahkan al-Bukhari
untuk keluar dari Bukhara. Al-Bukhari akur lalu keluar dari Bukhara.

Abu Sa’id
Bakr bin Munair bin Khulaid bin ‘Askar berkata:

“Pemimpin
Bukhara, Khalid bin Ahmad al-Zuhli mengutuskan (utusan) kepada al-Bukhari:

Bawakan
kepadaku kitab al-Jami’, al-Tarikh dan selain keduanya kepadaku supaya aku
dapat mendengarkannya daripadamu.

Muhammad
bin Isma’il berkata kepada utusan tersebut: Aku tidak akan merendahkan ilmu dan
aku tidak akan membawanya ke pintu-pintu manusia. Jika engkau berhajat
kepadanya, datanglah bertemuku di masjidku atau di rumahku. Jika engkau tidak
suka begini, maka engkau adalah pemimpin. Halanglah aku daripada duduk
(mengajarkan ilmu) supaya aku ada keuzuran di hadapan Allah di hari akhirat
kelak. Sesungguhnya aku tidak menyembunyikan ilmu kerana sabda Nabi sallahu
‘alaihi wasallam: Sesiapa yang ditanya tentang suatu ilmu lalu dia
menyembunyikannya maka dia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka.

Itulah
sebab permulaan konflik antara mereka berdua.”

Imam
al-Bukhari akhirnya keluar dari Bukhara menuju ke Samarqand dan menetap di
salah sebuah kampung di situ bernama Khartank.

Kewafatan

Khartank
terletak sekitar dua farsakh dari Samarqand. Imam al-Bukhari mempunyai
kaum kerabat di sana dan beliau tinggal bersama mereka selama beberapa hari.
Setelah itu beliau mula ditimpa sakit teruk sehingga pada suatu malam setelah
selesai mengerjakan solat malam beliau berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya bumi
yang luas ini terasa sempit bagiku. Ambillah aku semula kepadaMu.”
Tidak
sampai sebulan setelah itu beliau meninggal dunia.

Ketika
beliau sedang menderita sakit, beliau bersiap-siap untuk keluar ke Samarqand
kerana menerima jemputan daripada keluarga beliau di sana. Beliau berjalan kaki
ke haiwan tunggangannya. Tidak sampai 20 langkah beliau berkata: “Bantulah
aku. Aku telah lemah.”
Beliau lalu berdoa dengan beberapa doa. Kemudian
beliau berbaring lalu meninggal dunia. Peluh mengalir daripada tubuhnya
sehingga membasahi bajunya.

Peristiwa
tersebut berlaku pada malam sabtu iaitu malam hari raya Aidil Fitri tahun 256
Hijrah ketika usia beliau 62 tahun. Beliau dikebumikan di Khartank selepas
zohor keesokkan harinya.

Semoga
Allah merahmati Imam al-Bukhari atas jasa beliau berkhidmat kepada Islam
khususnya kepada hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Kubur Imam al-Bukhari




Terimakasih telah membaca di Piool.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.


Comments

Paling Populer

To Top