Nama dan
Gelaran
Nama penuh
beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Daud al-Sanhaji dan terkenal sebagai
Ibnu Ajurrum. Kunyah beliau pula ialah Abu Abdillah.
Inilah nama
beliau yang disebutkan dalam kebanyakan rujukan iaitu dengan dua Muhammad.
Sebahagian pensyarah matan al-Ajurrumiyyah seperti al-Makudi, al-Ibyari,
al-Rasyidi dan selain mereka menyebutkan namanya sebagai Muhammad bin Daud. Manakala
menurut al-Lazaqi pula namanya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin
Muhammad bin Daud, iaitu dengan empat Muhammad.
Gelaran
al-Sanhaji ialah nisbah kepada Sanhajah, nama sebuah kabilah di Maghribi. Ini
sebagaimana yang disebutkan oleh al-Bajuri. Al-Ibyari pula mengatakan bahawa ia
adalah nama sebuah tempat yang masyhur di Maghribi. Namun pendapat yang
dinyatakan oleh al-Bajuri lebih masyhur.
Mengenai
nama Ajurrum pula kebanyakan ulama yang menulis biodata beliau menyatakan ia
adalah daripada bahasa Berber yang bermaksud ‘al-faqir al-sufi.’
Al-Rasyidi pula menambah beberapa lagi maknanya iaitu ‘al-faqir atau
al-syeikh atau al-faqih al-sufi’. Namun sebahagian ulama seperti Ibnu ‘Anqa’
mengingkari perkara tersebut kerana beliau mendapati bahawa kaum Berber tidak
mengetahui perkara tersebut. Tambahan beliau lagi, terdapat sebuah kabilah yang
dinamakan Bani Ajurrum di kalangan kabilah Berber. Boleh jadi nama Ajurrum tersebut kerana beliau berasal dari kabilah tersebut.
Kabilah
Berber adalah sebuah etnik yang mendiami utara Afrika terutamanya di Maghribi,
Algeria, Tunisia, Libya, sebagaian kecil negara Mauritania, utara Mali dan
utara Niger. Sebilangan kecil populasi etnik ini juga ditemui di Burkina Faso
dan Siwa Oasis, Mesir.
Kelahiran
Ahli sejarah
bersepakat bahawa beliau dilahirkan di Fes, Maghribi namun mereka berbeza
pendapat tentang tahun kelahiran beliau. Ibnu al-Hajj menyebutkan bahawa beliau
lahir pada tahun yang sama wafatnya Imam Ibnu Malik iaitu 672 Hijrah.
Begitu juga yang dinyatakan oleh
al-Halawi dalam syarah beliau ke atas al-Ajurrumiyyah dan Muhammad Ja’far
al-Kattani dalam Salwah al-Anfas. Inilah pendapat kebanyakan ahli sejarah.
Haji
Khalifah dalam Kasyf al-Zunun pula berpendapat bahawa beliau dilahirkan
pada tahun 682 Hijrah.
Guru-Guru
Para ulama
yang mencatatkan sejarah hidup Imam Ibnu Ajurrum merekodkan bahawa beliau
mempunyai beberapa orang guru, namun tidak dinyatakan nama guru-guru tersebut
melainkan Abu Hayyan sahaja.
Disebutkan
dalam kitab Dairah Ma’arif al-Islamiyyah:
“Beliau
belajar di Fes kemudian di Mekah ketika menunaikan haji. Apabila beliau melalui
Kaherah beliau belajar dengan ahli nahu dari Andalusia yang terkenal, Abu Hayyan
Muhammad bin Yusuf al-Gharnathi yang meninggal di Kaherah pada tahun 745
Hijrah/1345 Masihi dan Abu Hayyan mengijazahkannya.”
Murid-Murid
Dengan
keilmuan dan kesolehan yang dimiliki oleh beliau tidak syak lagi bahawa
terdapat ramai murid yang ingin belajar dengan beliau lebih-lebih lagi penduduk
Fes sendiri, ditambah lagi dengan adanya murid-murid yang sanggup mengembara
untuk belajar dengan beliau. Antara murid beliau ialah:
1 – Anak
beliau, Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad.
2 – Abu
Abdillah Muhammad bin Ali bin Umar bin Yahya al-Ghassani al-Nahwi. Meninggal duniapada
tahun 742 Hijrah.
3 – Al-Qadhi
Abu Abdillah Muhammad bin Ibrahim al-Hadhrami.
4 – Abu al-‘Abbas
Ahmad bin Muhammad Abdullah bin Umar al-Wanghili al-Dharir. Meninggal dunia
pada tahun 779 Hijrah.
5 – Abu al-‘Abbasi Ahmad bin Muhammad bin
Hizbullah al-Khazraji. Meninggal dunia pada tahun 741 Hijrah.
6 – Abu al-‘Abbas
Ahmad bin Muhammad bin Syu’aib al-Jazna’. Meninggal dunia di Tunisia pada tahun
749 Hijrah.
Pujian
Ulama
1 –
Al-Sayuthi berkata: “Para pensyarah Mukadimah beliau seperti al-Makudi, al-Ra’i
dan selain mereka menyifatkan beliau sebagai imam dalam nahu, seorang yang
berkat dan soleh dan disaksikan kesolehan beliau dengan meluasnya manfaat yang
dapat diambil oleh orang yang baru belajar daripada Mukadimah beliau.”
2 – Al-Khatib
al-Syirbini memuji beliau dengan katanya: “Al-syeikh, al-alim, al-allamah,
al-imam al-fahhamah.”
3 –
Tajuddin Ibnu Maktum al-Qaisi al-Hanafi berkata: “Beliau seorang ahli nahu
(nahwi), ahli al-quran (muqri’) dan beliau mempunyai pengetahuan dalam ilmu
faraid dan matematik serta mahir dalam ilmu sastera.”
4 – Ibnu
al-Hajj berkata: “Beliau seorang imam yang agung, hafiz yang unggul, soleh
dan bukti kesolehan beliau ialah Allah mentakdirkan penerimaan terhadap
kitabnya. Perkara pertama yang dibaca oleh kebanyakkan orang setelah al-Quran
ialah Mukadimah ini. Orang tersebut akan mendapat manfaatnya dalam masa yang
singkat. Manakah tidak (orang tersebut mendapat manfaat sebegini), (ini kerana)
beliau telah menulisnya di hadapan kaabah.”
Penulisan
Imam Ibnu
Ajurrum menghabiskan usia beliau dengan ilmu sama ada mengajarkannya mahu pun
menulisnya. Ibnu Maktub berkata: “Beliau mempunyai penulisan dan syair dalam
ilmu qiraat dan selainnya. Beliau tinggal di Fes dan penduduknya mengambil manfaat
daripada ilmu beliau yang telah disebutkan itu. Umumnya, pengetahuan beliau
adalah berkenaan nahu dan qiraat.”
Antara
penulisan beliau:
1 – Al-Muqaddimah
al-Ajurrumiyyah fi ‘ilm al-Arabiyyah. Kitab ini menjadi sebab kemasyhuran
beliau dan ramai ulama mensyarahkannya.
2 – Faraid al-Ma’ani Fi Syarah Hirz al-Amani,
syarah kepada matan al-Syathibiyyah dalam ilmu qiraat.
3 – Al-Bari’
Fi Qiraah Nafi’. Nazam dalam ilmu qiraat.
4 – Al-Istidrak
‘Ala Hidayah al-Murtab.
Kematian
Ulama
sepakat tentang tahun kematian beliau iaitu pada tahun 723 Hijrah.
Al-Halawi
dalam Syarah al-Ajurumiyyah berkata: “Kewafatan beliau pada tahun 723
Hijrah dalam bulan Safar. Beliau dikebumikan dalam kawasan Bab al-Hadid, kota
Fes, Maghribi.”
Tetapi yang
tepatnya beliau dikebumikan di Bab al-Jizyin yang dikenali pada hari ini
sebagai Bab al-Hamra. Begitu yang disebutkan Muhammad Ja’far al-Kattani dalam
Salwah al-Anfas. Beliau juga memperincikan hari kewafatannya dengan katanya:
“Beliau meninggal dunia pada hari Ahad, selepas zohor pada 10 hari terakhir
bulan Safar (yakni pada 20 Safar) tahun 723 Hijrah dan dikebumikan keesokkan
harinya selepas solat zohor dalam kawasan Bab al-Jizyin, Fes.”
Semoga
Allah merahmati Imam Ibnu Ajurrum.
Kubur dikatakan milik beliau |
Terimakasih telah membaca di Piool.com, semoga bermanfaat dan lihat juga di situs berkualitas dan paling populer Aopok.com, peluang bisnis online Topbisnisonline.com dan join di komunitas Topoin.com.